Friday, October 26, 2007

Isu -isu Semasa- Mengawal populasi Anjing Liar

Oleh Dr. Mohd Zamri Saad

SEBULAN dua yang lalu kita telah dimaklumkan melalui dada akhbar akan bantahan orang awam, terutama NGO berhubung hasrat sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menganjur pertandingan menangkap anjing liar yang didakwa berleluasa di kawasan majlis perbandaran tersebut.

Mereka mendakwa bahawa pertandingan tersebut membahayakan orang awam yang tiada kemahiran menangkap anjing sementara taktik yang diguna boleh menimbulkan kekejaman pada anjing. Hari ini kita dihidangkan pula dengan aduan penduduk Selayang berhubung masalah anjing liar yang mengganggu kehidupan seharian.
Perlu diingatkan bahawa populasi anjing liar, sebagaimana populasi manusia, haiwan dan tumbuhan, bergantung kepada kemudahan persekitaran terutama makanan, air dan tempat berlindung. Dengan wujudnya kemudahan tersebut di sesuatu kawasan, maka satu populasi anjing liar juga akan wujud.

Dengan keselesaan hidup dan peredaran masa, pewujudan populasi anjing liar ini akan diikuti oleh pembiakan dan pertambahan bilangan menghasilkan saiz populasi anjing liar yang besar.
Faktor pertambahan populasi anjing liar pula disemarakkan lagi oleh kegagalan tuan punya anjing peliharaan mencegah pembiakan anjing di mana anak anjing yang dilahirkan oleh anjing peliharaan dibuang menjadi anjing liar.

Anjing liar juga didapati sering berhijrah dari kawasan sekitar atau kawasan berhampiran. Oleh itu, segala usaha mengurangkan populasi anjing liar dalam sesuatu kawasan akan mengakibatkan penghijrahan anjing liar dari kawasan berhampiran ke dalam kawasan tersebut. Ini mengekalkan saiz populasi.

‘Perkumpulan’

Sebagaimana yang dijangka, populasi anjing liar yang besar seterusnya mewujudkan ‘perkumpulan’ di mana beberapa ekor anjing liar akan hidup sebagai sebuah kumpulan yang saling bekerjasama. Dan seperti manusia, hidup berkumpulan menambah keyakinan diri, membina kekuatan dan mengurangkan rasa takut.

Memandangkan yang pelbagai faktor terlibat dalam menyemarakkan populasi anjing liar dalam sesuatu kawasan, maka langkah pengawalan bersepadu perlu dilaksanakan. Pengawalan bersepadu ke atas populasi anjing liar ini bukan saja melibatkan pihak penguasa tempatan, malah turut memerlukan sumbangan penduduk sekitar.

Berikut adalah cadangan langkah pengawalan bersepadu:

* Membentuk pasukan pemantau yang terdiri daripada penduduk setempat. Pasukan ini bertugas untuk mengganggu ‘ketenteraman’ dan keselesaan anjing liar dengan seringkali menggeledah tempat perlindungan dan mengurangkan kemudahan mendapat makanan dan minuman, terutama di kawasan bangunan tinggal dan semak.

* Memastikan pemeliharaan anjing dibuat dengan teratur oleh tuan punya. Ini termasuklah mengawal pembiakan anjing, menghalang membuang anjing di tempat awam.

* Menambah kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan ke arah memastikan tong sampah yang dibekal adalah yang bertutup, kadar pengambilan dan pelupusan sampah dibuat dengan lebih kerap, ‘memusnahkan’ semak dan memastikan bangunan tinggal tidak didiami anjing liar dan menambah aktiviti menangkap dan memusnahkan anjing liar.

* PROF. DR. MOHD ZAMRI SAAD ialah Dekan, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia.

Saya tertarik dengan rencana yang ditulis oleh Dr. Mohd Zamri yang saya petik daripada Utusan Online. saya ingin kongsikan bersama anda.
Saudara/i juga sudah tentu mempunyai pengalaman atau pendapat sendiri tentang populasi anjing liar bukan? jadi berikan komen/maklumbalas anda melalui blog ini untuk sama-sama kita bincangkan.

Monday, October 1, 2007

PBT diminta prihatin nasib penjual tepi jalan

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) memikirkan mekanisme lebih berkesan bagi menangani isu peniaga jalanan serta mencari kaedah bersesuaian membantu lebih ramai Bumiputera menceburi bidang perniagaan kecil. Timbalan Presidennya, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah, berkata senario yang dapat dilihat pada masa kini, PBT hanya agresif menjalankan penguatkuasaan dengan mengenakan tindakan terhadap peniaga di jalanan tanpa mencari jalan membantu mereka dengan penyediaan premis lebih baik atau memberi khidmat nasihat mendapatkan premis sesuai. Beliau berkata, lantaran itulah ramai peniaga Melayu berniaga sepanjang Ramadan tidak mampu meneruskan perniagaan pada bulan berikutnya kerana tidak mempunyai ruang, malah terpaksa berdepan tindakan penguatkuasaan sekiranya berniaga di kawasan larangan.
(Berita Harian-1 Oktober 2007)


Umum mengetahui bahawa apabila bulan Ramadan menjelang, lebih ramai peniaga bumiputera bertungkus lumus mencari rezeki di bazar-bazar Ramadan. Kelompok peniaga bermusim ini hanya bergantung kepada tapak khas yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sepeti pasar ramadan dan di kompleks membeli-belah. Namun, apa yang dianggap merugikan ialah kelompok peniaga kecil ini hanya dapat berniaga ketika bulan ramadan. Hal ini kerana, tapak-tapak niaga yang disediakan PBT hanya untuk ketika bulan Ramadan. Selepas sahaja Aidilfitri, kebanyakan peniaga yang berpotensi ini kan berdepan dengan tindakan undang-undang jika terus beroperasi. Bukankah ini suatu kerugian bagi peniaga melayu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi bandar? malah jurang ekonomi antara kaum juga mungkin semakin melebar di bandar. Rata-rata peniaga kecil hanya mampu memperoleh pendapatan bersih antara RM100 hingga RM300 sehari. Apakah mereka mampu memiliki sebuah premis perniagaan yang harganya sekitar Rm200,000 hingga RM500,000 di bandar?
Sejarah menunjukan bahawa peniaga bukan bumiputera yang berjaya bermula dari perniagaan yang kecil dan sederhana. Sewajarnya, peniaga bumipeutera diberi peluang menimba pengalaman dan mengutip modal dengan menyediakan tapak-tapak perniagaan yang strategik, selesa dan berkemudahan. Beri mereka peluang berniaga secara sah dibandar demi pembangunan bandar.