Tuesday, September 25, 2007

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan lanjut selepas menerima laporan caj masuk kenderaan ke ibu negara daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum membentangkan kertas cadangan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam. Menterinya, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, berkata cadangan mengenakan caj bagi kenderaan yang mahu memasuki pusat bandar raya pada waktu puncak itu antara alternatif masih diperhalusi DBKL untuk menangani masalah kesesakan yang semakin meruncing.
(Berita Harian-25 Sept2007)
Berikut adalah keratan akhbar yang membuatkan saya tertarik untuk memberikan pendapat.
Mengenakan caj kepada pemilik kenderaan yang memasuki ibu negara ketika waktu puncak adalah satu langkah yang kurang sesuai. Ia dapat dilihat sebagai satu tindakan penyelesaian mudah dalam mengatasi isu jangka masa panjang. persoalan yang saya ingin timbulkan ialah, isu kesesakan adalah berkait rapat dengan jumlah kenderaan yang semakin banyak disebabkan kuasa beli rakyat dalam memiliki kenderaan bermotor. Apakah perlu, suatu ketika nanti rakyat dibebani bayaran walaupun berada di pinggir ibu kota? logiknya Bandar-bandar satelit seperti Shah Alam, Petaling Jaya malah mungkin Putra Jaya akan menerima nasib yang sama akibat daripada pertambahan jumlah kenderaan dijalan raya Dimana relavan isu ini nanti? jika pemilik kenderaan dicaj kerana memasuki ibu negara ketika waktu puncak, saya sarankan juga perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan sistem pengangkutan awam lain tidak mengenakan caj perkhidmatan ketika waktu puncak kepada pelanggan . Isu Urban dan pembangunan bandar tidak harus dijadikan alasan untuk membebankan rakyat. -anas

Kementerian disaran percepat kaji kemiskinan

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat disaran mempercepatkan kajian terhadap kemiskinan bandar dan luar bandar supaya pendekatan dalam menangani masalah itu menjadi lebih berkesan menerusi penghasilan yang lebih baik.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau menyokong kriteria baru dalam pemberian bantuan kebajikan kepada kemiskinan di bandar yang diumumkan kementerian berkenaan minggu lalu. Beliau berkata, ketika ini, ramai individu yang terdiri daripada golongan tidak bernasib baik seperti anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) bertumpu ke kawasan bandar termasuk Pasir Gudang untuk mencari rezeki kerana ia adalah kawasan sektor perindustrian dan perdagangan..
"Sememangnya pendekatan mengatasi masalah kemiskinan adalah berbeza di kawasan bandar dan luar bandar, justeru, diharap kementerian terbabit dapat menyegerakan kajian berkenaan yang akan memanfaatkan golongan ini dengan berkesan malah lebih baik," katanya.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan bahawa kemiskinan bandar dan luar bandar adalah antara perkara akan dinilai semula dan dimasukkan dalam kriteria baru bagi penentuan serta kelayakan untuk seseorang menerima bantuan kebajikan mulai Januari depan.

(Berita Harian-25 Sept 2007)
Berikut adalah keratan akhbar yang saya bawakan kepada pembaca blog ini untuk saya ulas mengikut pendapat saya.
Isu kemiskinan bandar merupakan isu yang telah lama diperdebatkan. Malah isu kemiskinan bandar ini sebenarnya tanpa kita sedar ia telah berubah 'bentuk' kemiskinan. Dahulu, apabila disebut tentang kemiskinan bandar, ramai memikirkan bahawa orang miskin di bandar tinggal di kawasan setinggan atau tidak ada tempat tinggal yang selamat dan tetap. Namun, pada zaman ini, orang yang memiliki rumah milik sendiri yang sah dan selesa juga boleh diklasifikasikan sebagai miskin jika pendapatannya kurang RM500 sebulan. Hal ini dapat dilihat pada mereka yang merupakan pesara kerajaan atau swasta. Ramai pesara yang tinggal di bandar-bandar besar. malah ada juga yang masih mempunyai anak yang ramai dan masih bersekolah. Begitu juga dengan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan anak-anak yatim. Apa yang penting, golongan ini perlu diberi sokongan dan bantuan untuk mereka meneruskan hidup mereka dibandar. Mungkin mereka tidak memerlukan 'ikan setiap hari, tetapi joran untuk memancing'. Kerajaan perlu menekankan dasar yang dapat memastikan mereka dapat terus berdikari selagi mempunyai keupayaan. Berikan lebih banyak latihan kemahiran dan disusuli bantuan kewangan sehingga mereka berjaya sekurang-kurangnya dapat menjaga kesejahteraan keluarga.

Monday, September 24, 2007

Semangat Peniaga Kota Tinggi TIDAK PUDAR.

PERNIAGAAN yang dibina sekian lama musnah dalam sekelip mata.
Ruginya, usahlah dicerita namun bagi Shuzana Jaruman, banjir yang menghanyutkan isi kedainya tidak akan dapat merentap semangat niaganya.“Ia berlaku umpama sekelip mata apabila air naik dengan begitu cepat.“Kalau tidak silap saya, sekitar pukul 3 pagi, kedai saya sudah seperti tangki air yang penuh dan habis semua barang terapung-apung serta dihanyut arus,” cerita pengusaha kedai fotokopi di bandar Kota Tinggi itu.Bandar daerah bersejarah ini adalah antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir sehingga menyebabkan ia hampir lumpuh.Shuzana berkata beliau tidak menyangka Kota Tinggi akan dilanda bah yang dahsyat kerana pada kebiasaannya jika berlaku banjir pun, air hanya memenuhi longkang di sekitar bandar itu.“Saya tidak sempat untuk memindahkan barang-barang kedai yang sudah ditenggelami air.“Mesin fotokopi saya berendam selama tiga hari,” katanya.Namum selang beberapa minggu selepas keadaan kembali seperti biasa, Shuzana mendapat semula semangat niaganya yang dengan bantuan beberapa rakan, membersihkan kedainya.“Saya menerima ini sebagai ujian dan tidak akan mengalah.“Dalam hati, saya sedar bahawa perniagaan inilah yang ingin saya jalankan dan saya tidak akan membenarkan bencana yang menimpa meranapkan impian saya menjadi peniaga berjaya,” katanya penuh tekad.
Bagi Ham Hon Eng yang sudah lebih 11 tahun menjual motosikal di bandar Kota Tinggi, apa yang mahu beliau lakukan ialah membina semula perniagaannya.“Memang saya rugi besar...lebih RM100,000 tapi saya tahu tiada gunanya saya menangis.“Sekarang ini, saya perlu membaiki motosikal yang rosak dan berharap kedai saya dapat dibuka seperti semula selepas Tahun Baru Cina nanti,” katanya.Ham berkata banjir itu merosakkan 61 buah motosikalnya selain alat ganti, dokumen dan peralatan lain dalam kedai.“Perniagaan ini adalah periuk nasi saya dan tidak pandai buat kerja lain.“Walau apa pun keadaannya, saya mesti teruskan perniagaan ini,” katanya.
(contoh hasil temubual)

Friday, September 21, 2007

Kes Nurin Jazlin Jazimin : Di Mana Kita Berada?


Mayat dalam beg sah Nurin

Oleh Jalal Ali Rahim, Hardi Effendi Yaacob, Hanneeyzah Bariah Baharin, Ifwan Tun Tuah dan Nahar Tajri

GAMBAR (kiri): Mayat ditemui dalam beg, (kanan): Nurin Jazlin Jazimin.
Ujian DNA dapati 99.99 peratus sampel darah budak hilang sepadan ibu bapa.
SHAH ALAM: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan sampel darah mayat kanak-kanak yang ditemui dalam beg pakaian di Taman Petaling Utama, Isnin lalu, sepadan dengan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu. Keputusan ujian yang diperoleh polis pada jam 2 petang semalam itu, dimaklumkan kepada ibu bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman sejam selepas itu. Bagaimanapun kedua-duanya, yang dipanggil sekali lagi untuk membuat pengecaman mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), menafikan mangsa pembunuhan kejam itu adalah anak mereka.
(Berita Harian. 21 September 2007)
Berikut adalah petikan akhbar yang saya bawa untuk kita sama-sama fikirkan natijah yang sebenarnya berlaku disaat kita bersorak gembira menanti detik kemerdekaan negara yang ke-50 tahun. Pada tanggal 20 Ogos 2007, adik Nurin Jazlin Jazimin dilaporkan hilang ketika beliau berjalan berseorangan di sebuah pasar malam di Wangsa Maju. Ketika dunia melihat Malaysia diambang kejayaan sebagai sebuah negara membangun dari segala aspek termasuk ekonomi namun di bawah sedar kita masih lemah dari segi moral masyarakatnya. Pembangunan sesebuah negara seharusnya tidak berjalan seiring dengan peningkatan kes-kes jenayah kejam. Sejak tahun 1997, kekuatan ekonomi Malaysia diakui dunia apabila negara kita tidak begitu menerima kesan jangka masa panjang seperti negara jiran kita Indonesia. Pertumbuhan bandar-bandar satelit terutama di negeri Selangor tidak menunjukan sebarang kemunduran. Walaupun begitu, kita masih mundur dari aspek kemanusiaan masyarakat bandarnya. Sikap mengambil tahu hal-hal berkaitan kebajikan dan keselamatan masih tidak mencapai tahap yang membanggakan. Apa yang saya ingin bangkitkan disini sebagai seorang mahasiswa ialah dimana nilai-nilai murni rakyat Malaysia yang kita sering banggakan? apakah tindakan kita sebagai anggota mayarakat bandar dalam memastikan kita berada di bandar yang selamat atau sifar jenayah? setelah 50 tahun kita merdeka, apakah perlu kita bergerak seiring dengan peningkatan kes jenayah kejam terutama yang melibatkan kanak-kanak? sama-sama kita fikirkan. Kes Nurin Jazlin Jazimin ini adalah salah satu daripada puluhan kes jenayah terhadap kanak-kanak setelah 50 tahun kita MERDEKA.
Al-Fatihah..