Wednesday, June 4, 2008

Pendang Lake Resort- aku pernah tanam sepohon pokok di sana..rindunya..




Suasana kampung Pendang Lake Resort

RAMAI yang tidak menyedari selain Langkawi, bumi negeri jelapang padi atau Kedah mempunyai banyak destinasi percutian untuk pelancong yang merindui ketenangan dan suasana kampung berlatarkan panorama sawah padi, suara nyanyian cengkerik serta unggas. Pendang Lake Resort yang dibangunkan pada September 2004 adalah antara destinasi percutian yang dimaksudkan itu. Ia menyediakan pelbagai kemudahan bagi pencinta sukan air seperti berkayak, jet ski dan bot kawalan jauh manakala ikan patin, tilipia, haruan serta pelbagai jenis ikan air tawar setia menunggu kehadiran kaki pancing. Bukan itu saja, jika anda impikan latihan lasak ala tentera, Pendang Lake Resort turut menyediakan kemudahan elemen latihan darat merangkumi sirkit rempuh yang menggunakan modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terutama bagi peserta kursus seperti kem bina semangat dan kursus motivasi diri bagi pelajar sekolah.

Terletak 25 kilometer dari bandaraya Alor Star dan kurang satu kilometer dari pekan Pendang, tasik buatan yang mempunyai keluasan 12 hektar ini boleh dijadikan kawasan riadah bersama keluarga kerana di kelilingi beberapa pondok rehat. Pendang Lake Resort yang dulunya dikenali sebagai Rumah Rehat Pendang juga bakal dibangunkan menjadi destinasi pelancongan sukan air terkemuka di Kedah selaras sambutan Tahun Melawat Kedah 2008 bulan depan. Malah, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan di sini antaranya, Pesta Memancing sempena bulan kemerdekaan yang diadakan pada Ogos setiap tahun dan penganjuran Cabaran Jet Ski yang diadakan pada Mei lalu yang turut disertai peserta dari Korea, Jepun, Thailand dan China.

Pengarah Pendang Lake Resort, Hashim Abd Rahim, berkata kawasan ini juga menyediakan kemudahan untuk peserta kursus seperti dewan, bilik tutorial, bilik mesyuarat, padang bola sepak dan bola jaring serta fasiliti asrama untuk pelajar. Beliau berkata, kawasan ini yang mula beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun lalu, menjadi destinasi pilihan pelancong asing terutama dari Jepun, Timur Tengah dan Thailand.

1 comment:

ed classic said...

aku pon sama gak hehehehhe